Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
MENTIRI, Isnin, 22 Jun. - Dalam usaha meningkatkan penghayatan Al-Quran dalam kalangan murid sekolah ugama, Sekolah Ugama Sungai Besar, Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 42 murid Darjah VI. Majlis tersebut diadakan di Dewan Serbaguna, Kelab Perkhidmatan Awam, Jalan Kelab Golf Pantai Mentiri, petang tadi.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Perkembangan, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Muhamad Dahrin bin Daud.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu khas majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Acara diteruskan dengan bacaan Takhtim serta Doa Khatam yang dipimpin oleh Awangku Md. Suyufuddin Al-Maturidi bin Pengiran Haji Md. Sofian.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil kepada para peserta khatam yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis dengan diiringi persembahan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Tenaga Pengajar, Awang Mohammad Ayub bin Ali.
Dengan sokongan dan kehadiran para ibu bapa, yang sentiasa memberikan dorongan, bimbingan serta galakan kepada anak-anak dalam mempelajari dan menghayati Al-Quran, majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di persekolahan ugama merupakan salah satu usaha berterusan JPI dalam memperkukuhkan penghayatan hidup beragama dalam kalangan murid.
Di samping itu, majlis seumpama ini turut berperanan dalam mempereratkan kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa serta sama-sama memperkukuhkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.